Ahli Jawatankuasa JAPTIM anjur Ramah Mesra Aidil Fitri
Oleh Mohammad Abdullah







Bagi mengeratkan jalinan silaturahim dan keharmonian di kalangan ahli jawatankuasa Pengetua dan Timbalan Pengetua Sekolah-Sekolah Menengah & Maktab-Maktab Kerajaan Negara Brunei Darussalam (JAPTIM) terutama sekali ahli jawatankuasa JAPTIM yang baru terdiri daripada timbalan pengetua yang dilantik oleh Kementerian Pendidikan, Majlis Ramah Mesra Hari Raya Aidlifitri telah diadakan.
Pengerusi JAPTIM Pengiran Haji Zahari Pengiran Haji Ahmad dalam ucapan alu-aluannya di majlis yang berlangsung di Orchid Garden Hotel mengatakan penambahan pemimpin sekolah melalui pelantikan timbalan pengetua yang baru adalah bagi membantu para pengetua menjalankan jentera pentadbiran dan kepimpinan sekolah dengan lebih berkesan dan efektif adalah merupakan hasrat yang pernah disuarakan oleh pengetua-pengetua kepada Kementerian Pendidikan.
Beliau menjelaskan bahawa ahli jawatan kuasa JAPTIM tidak bergerak atau mencorak langkah ke hadapan secara bersendirian memperkembang majukan kualiti pendidikan tetapi dalam masa yang sama bekerjasama dengan para kelompok sekolah untuk mendukung dan memberi khidmat bantu kepada Kementerian Pendidikan khususnya bahagian menengah dalam menangani cabaran dan isu-isu pendidikan semasa seperti perlaksanaan sistem pendidikan Negara abad 21 (SPN21).
Beliau menerangkan bahawa peranan ahli jawatankuasa JAPTIM yang baru mengambil alih tugas dan tanggung jawab pada bulan Jun tahun ini telah terus mengikuti arus perubahan masa dan suasana alam pendidikan masa kini, yang mana amalan-amalan terbaik sekolah dipilih secara teliti dan rapi bagi menambah lagi nilai, kualiti dan berdaya tahan dipraktikkan di sekolah-sekolah.
Beliau mengatakan bahawa peranan ahli jawatan kuasa JAPTIM sebelum ini hanya tertumpu kepada hal-hal yang bersangkut paut dengan memperkasa pemimpin sekolah di peringkat negara tetapi ruang lingkup peranan JAPTIM bertambah dan terbuka luas dengan keterlibatan sama dalam forum Pengetua Sekolah Asia Tenggara yang mana para pemimpin sekolah berpeluang berinteraksi dan berbincang dengan rakan pendidikan di rantau ASEAN.
Majlis Ramah Mesra Aidilfitri bagi ahli-ahli JAPTIM tersebut diteruskan dengan penyampaian cenderamata pada 18 bekas ahli-ahli JAPTIM yang terdahulu, yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Hajah Norjum Haji Md Yusop.

No comments:
Post a Comment